Thursday, September 3, 2009

JPN terima RM200,000 elak H1N1 calon UPSR



KOTA BHARU - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan menerima peruntukan lebih RM200,000 sebagai persiapan bagi menangani penyebaran virus Influenza A (H1N1) dalam kalangan pelajar di negeri ini.

Pengarah JPN, Mohd Ghazali Abdul Rahman berkata, peruntukan berkenaan membabitkan kemudahan topeng muka, termometer dan peralatan lain yang berkaitan.

Menurutnya, agihan berkenaan diberikan kepada JPN Kelantan untuk digunakan bagi calon-calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan juga pengawas peperiksaan yang bertugas.

“Agihan peralatan berkenaan sepatutnya sudah diedarkan kepada setiap Pejabat Pelajaran Daerah berakhir hari ini (semalam) dan ia mula diagihkan pada 23 Ogos lalu.

“Lembaga Peperiksaan Malaysia juga turut menyediakan kelengkapan khusus untuk digunakan bagi 2,720 petugas peperiksaan di seluruh daerah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Terdahulu beliau yang juga Yang Dipertua Badan Ihsan Warga Pendidikan JPN Kelantan menyampaikan sumbangan kepada dua waris kakitangan JPN yang meninggal dunia baru-baru ini.

Mohd Ghazali berkata, pada tahun ini terdapat seramai 37,417 calon yang akan menduduki UPSR di 431 pusat peperiksaan seluruh daerah bermula pada 8 September ini.

“Saya bersyukur kerana calon-calon kita sehingga kini tidak ada yang terlibat dengan virus ini dan bagaimanapun langkah-langkah pencegahan terus diperketat supaya mereka dapat menjalani peperiksaan dalam keadaan baik.

“Malahan petugas-petugas juga akan turut menjalani pemeriksaan suhu badan dan saya berharap pengawas peperiksaan dapat menjaga kesihatan mereka,” katanya.

Mohd Ghazali juga berkata, sumbangan yang diberikan ini juga menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kualiti pendidikan di seluruh negara termasuk Kelantan adalah baik.

Wednesday, September 2, 2009

TAZKIRAH KHAS RAMADHAN

SIRI 1 : AWAL AL-MUBARAK

"Berpuasa pada bulan Ramadhan dan berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan akan menjauhkan fikiran jahat daripada hati dan membersihkannya."

Ramadhan menjenguk lagi. Dan sedari awal kedatangannya memang dinanti. Inilah masa yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tanpa diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal. Setiap individu mempunyai cara yang tersendiri menyambut Ramadhan. Ada juga mukmin yang memulakan sambutan puasa dengan berpuasa sunat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud:

"Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seseorang yang telah membiasakan diri berpuasa sunat, maka ia dibolehkan berpuasa." - HR Tujuh Ahli Hadith

Puasa Ramadhan tidak boleh dimulakan dengan berpuasa sunat atas alasan ingin menyambut ketibaan Ramadhan. Namun, jika seseorang individu itu telah biasa dan memang mengamalkan berpuasa sunat di dalam hidupnya, maka individu ini tidak
ditegah untuk berpuasa sunat walaupun puasa sunat yang dilakukannya adalah pada sehari atau dua hari sebelum kedatangan Ramadhan. Malahan, hal seperti ini dibolehkan di dalam Islam. Misalnya, jika seseorang itu telah biasa berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Ramadhan pada tahun itu jatuh pada hari Selasa, maka individu itu dibolehkan meneruskan puasa sunatnya sebagaimana lazimnya.

Namun jika individu itu sengaja melakukan puasa sunat sedangkan itu bukanlah kebiasaan amalannya, maka puasa seperti ini adalah diharamkan kerana ia dikatakan sebagai mendahului ibadat puasa Ramadhan. Walaupun ada segolongan individu yang berpendapat puasa seperti ini sebagai satu penghormatan untuk menyambut ketibaan Ramadhan tetapi Rasulullah SAW sendiri menidakkan dalil yang sebegini dan menegah sama sekali amalannya.

Terdapat segelintir golongan bukan Islam yang berpendapat ibadat puasa ini tidak lain daripada meletih dan menyeksakan lantaran pantang larang yang perlu dipatuhi, namun pendapat-pendapat sebegini mula terhakis berikutan penemuan dan kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa puasa adalah satu amalan yang baik bagi menjamin tahap kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhannya.

Di samping menerangkan kepada mereka tentang konsep sebenar ibadat dalam Islam, kita sentiasa digalakkan untuk memperbaiki dan menambah amalan dari semada ke semasa terutamanya di dalam bulan Ramadhan ini. Ibadat utama dalam Ramadhan ialah untuk mengerjakan puasa.

"Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar (subuh), maka tidak ada puasa baginya." - HR Ahmad & Ashabus Sunan

Awal puasa ialah berniat untuk mengerjakan ibadat tersebut.

Niat puasa terbahagi kepada dua iaitu:

Berniat setiap malam sebelum datangnya waktu Subuh - seseorang yang berkeinginan untuk berpuasa, wajib menyatakan niatnya; Berniat pada awal bulan Ramadhan sebelum datangnya waktu Subuh - seseorang yang ingin berpuasa pada bulan tersebut, wajib menyatakan niatnya untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan.

Kedua-dua pengertian ini boleh diterima pakai, namun bagi mendidik anak-anak kecil berlatih berpuasa, lebih wajar jika kaedah yang pertama ini diterapkan kepada mereka. Manakala kaedah yang kedua pula lebih mudah dan meringankan Seseorang yang akan mengerjakan ibadat puasa selama sebulan Ramadhan, memadai jika menyatakan niat puasanya sekali pada malam pertama Ramadhan. Jika niatnya dinyatakan setiap malam, maka hal ini dikategorikan sebagai sunat dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

Selamat Berpuasa dan wassalam.

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.

Saudara-saudari,

Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?

Sabda Rasulullah saw.:

"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam.

Nabi Muhammad saw pernah bersabda:

"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"

Saudara-saudari,

Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri

sendiri.

Sabda Rasulullah saw:

"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

Wasalam

Penggodam Indonesia serang laman web Malaysia

Susulan dakwaan Kuala Lumpur mengambil budaya mereka untuk promosi

JAKARTA: Sekumpulan penggodam komputer Indonesia kelmarin mendakwa menyerang beberapa laman web Malaysia, insiden terbaru yang membayangkan kehampaan berterusan selepas Kuala Lumpur didakwa menggunakan tarian tradisi republik itu untuk mempromosi pelancongannya.

Satu kenyataan dihantar ke sebuah blog bertajuk "Terselubung" berkata beberapa laman web Malaysia digodam dan dicacatkan.

Blog itu menyenaraikan lebih 120 alamat internet, termasuk domain bagi pendidikan Malaysia dan laman pelancongan. Namun pemeriksaan ke atas contoh laman web yang disenaraikan mendedahkan hanya beberapa daripadanya masih dicacatkan.

Laman web rasmi Malaysia kembali pulih dan hanya beberapa laman web persendirian termasuk risalah syarikat pemasaran internet, masih memaparkan mesej penggodam, sementara yang lain tidak boleh dibuka atas beberapa sebab.

Dengan lagu kebangsaan Indonesia dimainkan sebagai muzik latar, laman web risalah berkenaan digodam ditandatangani oleh M364tron dan berkata: "Satu demi satu anda mengambil budaya kami, namun kami tidak akan diam. Anda masih menjadi sasaran utama kami."

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah melahirkan perasaan "kecewa" berhubung tindakan penggodam tempatan dan menggesa kedua pihak bertenang.

"Saya fikir mereka memberi tindak balas dengan cara tidak wajar dan hanya memburukkan keadaan," kata Faizasyah.

"Kami tidak percaya bahawa serangan ke atas laman web Malaysia diganggu secara besar-besaran sehingga mengganggu hubungan dua hala, namun mereka mungkin menyebabkan keadaan berang dari segi psikologi, justeru semua orang perlu bertenang."

Musni Umar, seorang anggota tempatan Kumpulan Individu Terkemuka, satu pertubuhan pakar dan bekas pemimpin dari kedua negara, berkata penggodam keterlaluan dan insiden itu membabitkan hanya golongan muda yang sering bertindak secara emosi berbanding rasional.

"Saya tidak bimbang pada hari ini, saya bimbang apabila golongan muda ini mengambil alih pemerintahan negara dengan sangka buruk terhadap jiran mereka," katanya.

"Ya kita perlu melakukan sesuatu mengenainya. Komunikasi dua hala perlu membabitkan belia bagi membantu mereka memahami perlunya mengekalkan hubungan baik dengan jiran."

Perasaan berang dengan Malaysia memuncak lagi minggu lalu berhubung dakwaan bahawa satu tarian Bali digunakan bagi mempromosi satu rancangan televisyen mengenai Malaysia, walaupun didedahkan selepas itu tiada agensi kerajaan memainkan peranan dalam membuat iklan itu. - Agensi

Alahai Gadis Melayu!


Program ubah format ikut selera penonton

APA sudah jadi kepada program realiti Gadis Melayu musim kedua? Program terbitan TV9 yang baru memulakan musim barunya pada 6 Ogos yang lalu seperti lari daripada objektif asalnya mencari sekumpulan gadis yang penuh dengan ciri kemelayuan.

Pada sidang media mengumumkan kemunculan semula program itu, wakil TV9 memberitahu memang wujud perubahan pada program Gadis Melayu kali ini yang berkonsepkan kontemporari dan moden. Seperti yang dijanjikan TV9, apabila program itu memulakan siarannya satu fasa perubahan besar berlaku kepada program berkenaan. Paling ketara, penampilan 12 peserta serta dua hosnya iaitu Sharifah Shawati dan Juliana Evans langsung tidak melambangkan ciri-ciri kemelayuan.


Jika pada musim terdahulu, pesertanya kelihatan ayu berbaju kurung tetapi kali ini terutamanya pada episod yang ketiga, tiada lagi baju kurung atau kebaya tersarung pada tubuh pesertanya sebaliknya baju di paras lutut serta seluar ketat menjadi pilihan.


Kenapakah TV9 mahu memodenkan sebuah program unik? Sepatutnya mereka berbangga kerana belum pernah ada mana-mana stesen televisyen mewujudkan program sebegitu. Apabila Gadis Melayu dikontemporarikan, ia sekali gus meletakkan program ini sama dengan program stesen televisyen lain yang mencungkil bakat wanita muda dalam bidang pengacaraan.

Eksekutif Kanan Penjenamaan dan Pengurusan TV9, Zulkarnain Mokhtar, bagaimanapun menjelaskan biarpun musim ini lebih kontemporari tetapi mereka masih lagi mengekalkan ajaran mengenai adat resam serta budaya masyarakat Melayu.

Katanya, konsep program itu diubah bukan atas kehendak stesen sebaliknya mereka mengambil saranan penonton setia Gadis Melayu yang kononnya tidak percaya wanita Melayu bersifat lemah lembut masih wujud pada zaman ini.

“Apabila kami memperkenalkan konsep Gadis Melayu, antara maklum balas yang banyak kita terima ialah peserta program ini terlampau baik. Penonton tidak percaya pada zaman sekarang masih wujud gadis yang baik seperti peserta musim pertama. Daripada maklum balas yang kami terima itulah kami merombak konsepnya kali ini.

“Menerusi kajian, kami mencapai kata putus mencari peserta Melayu yang berperwatakan biasa. Kami juga membuka penyertaan kepada semua tidak kira sama ada peserta itu bertudung atau tidak bagi mewujudkan dasar kesaksamaan. Kita cuba membidas semula apa yang dikatakan penonton pada musim terdahulu,” katanya.

Sementara itu penerbit program itu, Shukri Ibrahim pula berkata, walaupun penampilan peserta kali ini lebih moden, namun peserta masih lagi perlu melalui pelbagai tugasan berkaitan adat serta budaya masyarakat Melayu.

“Kita masih tidak lari daripada adat dan budaya masyarakat Melayu. Pendidikan ke arah itu masih lagi kita terapkan, contohnya seperti belajar memasak masakan Melayu tradisional. Perkara itu masih lagi ada dalam musim ini cuma imej peserta saja yang sedikit berbeza musim ini,” katanya.

Pada episod ketiga yang lalu, peserta berasal dari Ipoh, Perak, Raja Nur Juliana Raja Mohd Zamani atau Julia, 23, menjadi peserta pertama yang disingkirkan daripada program itu apabila gagal menambat hati penonton dan juri yang masing-masing menyumbang sebanyak 50 peratus markah.

Ketika ditemui, graduan Taylor’s University College, Australia, berkata dia akur dengan konsep program realiti yang membabitkan penyingkiran tetapi tidak menyangka menjadi peserta pertama yang disingkirkan.

“Saya memang tahu konsep penyingkiran dalam program realiti tetapi tak sangka akan terkeluar sebegini awal. Apabila nama saya diumumkan berada di tangga paling bawah, saya memang amat terkejut. Saya berasakan sudah menjalankan tanggungjawab sebagai ketua kumpulan dengan baik dan tidak mungkin akan disingkirkan.

“Ketika peratusan markah awal diumumkan, saya sangkakan kedudukan saya akan terselamat tetapi tak sangka pula apabila keputusan kedua diumumkan markah saya yang paling rendah. Saya rasa sedih sangat kerana baru tiga minggu mengenali rakan baru, tiba-tiba saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada mereka.

“Memandangkan saya belajar dalam bidang komunikasi masa, saya berharap pembabitan dalam program Gadis Melayu akan memberi peluang kepada saya untuk menceburi mana-mana cabang dalam bidang penyiaran sesuai dengan kursus yang saya ambil,” katanya.

Malaysian Muslims 'may attend' Black Eyed Peas show


Singer Fergie of the Black Eyed Peas performs in New York City in June 2009. Malaysian Muslims are now permitted to attend a concert by US hip-hop band Black Eyed Peas, organisers said, reversing an earlier stand which saw Muslims banned from the event.